Seminggu sebelum Tun Dr Mahathir Mohamad mengalami serangan jantung, beliau begitu ghairah dan bertenaga sekali menjawab soalan-soalan Thomas Fuller, wakil International Herald Tribune di pejabatnya, di Tingkat 86, Menara Petronas, KLCC. Ikuti sedutan menarik daripadanya.
IHT: Anda kini telah kembali berpolitik, menurut pandangan anda apakah kesilapan Abdullah yang paling besar?
MAHATHIR: Saya pernah berjanji untuk tidak mencampuri urusan kerajaan. Selama dua tahun saya mendiamkan diri. Tapi apa yang saya dapati sejak dari mula ahli keluarganya (Abdullah) terlibat dalam proses kerajaan.
Malah mereka menghadiri mensyuarat kerajaan walaupun mereka tidak mempunyai status untuk berbuat demikian. Terdapat bukti yang jelas bahawa menantunya (Khairy Jamaluddin) memainkan peranan yang besar dalam soal melantik menteri, bahkan dalam melantik calon yang akan bertanding dalam pilihan raya.
Saya pernah diberitahu oleh orang yang terlibat bahawa dia (Khairy) pernah menelefon ketua-ketua menteri untuk memberikan projek kepada orang-orang tertentu, termasuk kepada ibunya. Ini saya rasa benar kerana orang yang kehilangan projek itu berasa cukup sedih dan memberitahu saya.
Bagaimana dengan pengurusan ekonomi Abdullah?
Asasnya dia tidak faham bagaimana untuk menggerakkan ekonomi. Dan bagi membuktikan bahawa saya salah kerana menggunakan wang kerajaan untuk apa yang dipanggilnya projek mega, dia memotong perbelanjaan. Jika kerajaan tidak membelanjakan wang, ia tidak akan menghasilkan kekayaan dalam komuniti.
Sesetengah orang berpendapat bahawa Abdullah tidak pandai bercakap, selalu mengantuk. Adakah anda dapati dia tidak cukup bertenaga sebagaimana anda?
Tempoh tumpuannya sangat pendek dan ramai yang memberitahu saya bahawa dia selalu tertidur ketika kes dibentangkan kepadanya. Dia hanya membiarkan apa penasihatnya cakap.
Anda mengambil tindakan untuk menyertai politik semula, apakah matlamat anda?
Supaya kerajaan yang ada dapat diperbetulkan. Supaya kerajaan tidak lagi melakukan perkara-perkara yang tidak boleh diterima seperti melibatkan ahli keluarga dalam urusan kerajaan, mengaitkan syarikat keluarga.
Adakah ini bermakna Abdullah mesti pergi?
Dia tidak perlu pergi sekiranya dia sanggup berbuat apa yang betul, bukan untuk saya tapi untuk negara ini. Tapi sekiranya dia tidak sanggup, dia harus memberi peluang kepada orang lain untuk membangunkan negara ini. Kini pembangunan negara terhenti. Semua bangunan baru yang dapat dilihat pada hari ini sebenarnya diluluskan pada zaman saya.
Jika anda pergi mengembara menaiki pesawat MAS, mereka akan tunjukkan gambar menara berkembar dan bermacam-macam lagi. Di penghujungnya mereka akan tunjukkan gambar Abdullah seolah-oleh dia yang bertanggungjawab terhadap semua itu. Sebenarnya dia tidak. Semua bangunan itu dibina sebelum zaman dia.
Dari sudut yang lebih luas, anda didapati menentang Abdullah yang mendapat mandat besar setahun selepas dia mengambil alih kuasa. Rakyat suka kepada peribadi dan gayanya. Apakah yang boleh anda lakukan supaya rakyat boleh bersama anda?
Strateginya sekarang ialah menghalang saya bercakap dengan sesiapa pun juga. Dengan cara itu popularitinya dapat diselamatkan dan dikekalkan.
Sesetengah pihak berpendapat perbalahan anda dengan Abdullah bersifat peribadi. Mereka kata kawan-kawan lama anda yang dulunya mendapat banyak faedah kini tidak lagi mendapat kontrak.
Itu merupakan tuduhan lama yang ditujukan kepada saya, bahawa saya menolong kawan-kawan saya. Tapi sebenarnya saya tidak berbuat begitu - semua orang ini merupakan mereka yang berkeupayaan, oleh itu mereka perlu diberi peluang.
Saya tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan projek pembangunan pelabuhan kepada seorang penarik beca. Ia harus diberikan kepada mereka yang ada keupayaan. Saya tidak berminat dengan perkara-perkara peribadi. Dan ia bukan juga kerana projek-projek kesayangan saya. Apa saja projek yang saya jayakan semuanya baik untuk negara.
Perbalahan Mahathir dan Abdullah ini telah mendapat perhatian rantau ini. Adakah anda rasa ia berbaloi?
Saya ingin tegaskan di sini bahawa perbalahan di antara kami berdua bukan kerana masalah peribadi. Ia merupakan soal bagaimana negara ini diterajui. Saya sudah jelaskan bahawa kesilapan yang berlaku bukan kerana orangnya tapi kerana ia dilakukan secara silap.
Tidakkah terdapat risiko bahawa perbalahan ini merosakkan Malaysia lebih teruk daripada Abdullah merosakkan Malaysia?
Tidak. Saya rasa kerosakan yang dilakukan Abdullah terhadap Malaysia lebih teruk.
Bercakap soal jangka panjang, apakah kebimbangan terbesar anda terhadap Malaysia?
Saya fikir Malaysia mempunyai banyak peluang yang baik jika ia diurus dengan sempurna.
Tidakkah anda terfikir untuk berehat sambil membaca novel John Grisham di tepi pantai, atau bermain dengan cucu? Komuniti perubatan mengatakan terdapat tiga sumbatan dalam jantung anda tapi anda masih lagi nampak sihat. Bukankah sudah tiba masa untuk memperlahankan rentak?
Tidak. Saya fikir saya mempunyai tanggung jawab kepada rakyat dan negara ini. Saya tak begitu peduli apa yang berlaku pada diri saya. Selama ini memang saya bekerja keras, walaupun selepas saya diserang sakit jantung. Saya tidak berhenti. Saya rasa hidup ini tidak begitu bermakna jika kita asyik fikirkan mengenai masa-masa indah selepas kita pencen.
Adakah anda menyesal mengundurkan diri?
Tidak. Saya pilih untuk mengundur diri. Manalah saya tahu apa yang akan berlaku.
Anda dikatakan ada menyimpan pita rakaman mengenai pertemuan damai di antara anda dengan Abdullah. Bila ia akan diedarkan?
Tengoklah satu hari nanti.
Terjemahan: Muhammad Nor Abd Samad
No comments:
Post a Comment