Wednesday, November 29, 2006

Mangsa along hampir murtad

Ini kisah benar menimpa seorang hamba Allah yang hanya mahu dikenali sebagai Mat. Bebanan hutang menyebabkan beliau hampir murtad disebabkan tawaran golongan yang boleh membantunya dengan syarat beliau menukar agama.
Kepada salah seorang pemimpin PAS Pusat, beliau mengadu masalah serta tekanan yang dihadapinya. Justeru, satu pertemuan diatur agar kisah yang dihadapinya ini menjadi iktibar kepada masyarakat.
Sebagai kontraktor kecil di Kuala Lumpur, Mat memerlukan wang bagi menjalankan projek yang diperolehinya. Tambahan pula pembayaran bagi projek kerajaan oleh kontraktor utama selalu mengambil masa panjang untuk dilunaskan.
Bagi mendapatkan pusingan modal, beliau menggunakan pelbagai alternatif termasuk menjual kereta serta menggadaikan barang kemas milik isterinya.
Dalam keadaan terdesak, rakannya mencadangkan supaya meminjam daripada along (syarikat peminjam wang). Justeru kerana terdesak dan tanpa memikirkan kesannya, beliau meminjam RM10,000 daripada empat orang along.
Mat perlu menjelaskan pinjaman dalam tempoh tujuh hari. Jika gagal, beliau akan dikenakan faedah RM700. Setelah seminggu berlalu, Mat masih gagal menjelaskan pinjamannya mengakibatkan dia didenda RM350 sehari.
Walaupun tempoh pembayaran dilanjutkan, beliau masih gagal mendapatkan pembayaran daripada kontraktor mengakibatkan kadar bunga yang ditanggungnya mencecah ribuan ringgit. Duit simpanannya habis digunakan untuk membayar faedah pinjaman.
Sejak itu, pelbagai gangguan dan ugutan diterima daripada along-along itu. Dalam keadaan tertekan, Mat menerima panggilan daripada seseorang yang mendakwa boleh membantunya menyelesaikan hutang. Tanpa berfikir panjang dan dengan ditemani along, Mat ditemukan lelaki terbabit di luar Kuala Lumpur.
Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Michael memberi jaminan untuk membantu asalkan beliau mengikuti syarat yang ditetapkan. Mat kemudian diberikan empat keping borang yang mana sekeping borang tertera Jabatan Pendaftaran Negara dan sekeping lagi borang pertukaran agama.
Mat diberitahu, jika ingin mendapatkan wang dengan segera beliau perlu menandatangan borang tersebut. Sejumlah wang akan dimasukkan ke dalam akaun banknya keesokan hari.
"Saya bertanya lagi, adakah saya perlu menukar agama untuk mendapatkan wang tersebut. Michael menyatakan itulah yang perlu saya lakukan dan saya tidak perlu khuatir atau bimbang kerana hanya perlu menukar agama tetapi masih boleh berkelakuan seperti Muslim," jelasnya.
Michael juga meyakinkannya supaya tidak bimbang keselamatan dirinya kerana jika menukar agama, beliau akan dilindungi seorang peguam.
Mat kemudian diberi tempoh untuk berfikir.
Setelah pertemuan itu, Mat terus didatangi along yang mendesak beliau menerima tawaran tersebut memandangkan hutangnya meningkat saban hari.
"Saya hampir tertewas dan pujuk rayu serta bantuan yang dijanjikan Michael terngiang-ngiang di fikiran saya. Mujurlah waktu itu saya cuba berfikiran waras dan menceritakan pada rakan-rakan rapat termasuk ustaz. Mereka banyak memberi saya semangat dan meminta saya supaya banyak mengingati Allah. Jika tidak, mungkin hari itulah solat dan puasa saya yang terakhir," ujar Mat.
Ketika ditanya mengapa beliau tidak membuat laporan polis, Mat mendakwa khuatir keselamatan isteri dan anak-anaknya terancam jika along-along itu bertindak balas.
Sehingga pertemuan dengan Harakah (pada pertengahan Oktober) hutangnya termasuk kadar bunga mencecah RM22,000.
"Mungkin ada yang mengatakan hanya kerana hutang RM10,000 takkan kita boleh menjadi kafir. Tetapi tekanan dan keadaan yang mendesak membuatkan ramai sanggup menukar agama. Tapi saya memohon pada Allah supaya diberikan kekuatan dan menunjukkan jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini," jelas Mat.
Mat menasihatkan masyarakat Islam agar berhati-hati dengan individu dan kumpulan yang cuba mengambil kesempatan atas kesempitan hidup seseorang bagi memujuk mereka meninggalkan Islam.
Elakkan daripada meminjam daripada along, ceti haram mahupun syarikat pinjaman berlesen yang mengenakan caj faedah yang tinggi. Ingatilah amaran Allah bahawa riba itu haram!

No comments: