Friday, December 1, 2006

Surau Kg Berembang akhirnya diroboh MPAJ-Rusly-Islam kena belasah



AMPANG, 30 Nov - Pihak berkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akhirnya berjaya merobohkan Surau Kg Berembang walaupun berhadapan dengan tentangan sengit para penduduk dan sukarelawan yang cuba mempertahankan "Rumah Allah" itu.
Dengan kekuatan 100 anggota, penguatkuasa MPAJ bertindak rakus merempuh benteng manusia yang dibina penduduk dan sukarelawan lantas menggunakan gergaji besi untuk mengoyakkan pagar besi surau yang dikunci rapi penduduk.
Selepas berjaya menceroboh masuk ke kawasan surau tersebut, gerombolan penguatkuasa MPAJ merempuh masuk ke dalam surau tanpa menanggalkan kasut dan bertindak memecahkan peralatan dan tingkap kaca surau berkenaan.
Sekumpulan kanak-kanak, wanita dan lelaki yang "berkubu" di dalam surau diheret dengan ganas keluar daripada surau tersebut setelah pergelutan berlaku antara mereka dengan pegawai penguatkuasa MPAJ yang hampir keseluruhannya beragama Islam.
Sebuah jentolak digunakan bagi merobohkan bahagian hadapan surau ketika para penduduk dan sukarelawan melaungkan "Allahuakbar".
Seramai 11 orang penduduk dan sukarelawan ditahan dalam operasi ganas itu manakala empat orang penduduk pengsan akibat dikasari penguatkuasa MPAJ.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, wakil-wakil NGO dan persatuan pelajar berusaha menenangkan penduduk.

No comments: